Tuesday, July 19, 2016

Perniagaan Yang Tidak Pernah Rugi

إِنَّ الَّذينَ يَتلونَ كِتٰبَ اللَّهِ وَأَقامُوا الصَّلوٰةَ وَأَنفَقوا مِمّا رَزَقنٰهُم سِرًّا وَعَلانِيَةً يَرجونَ تِجٰرَةً لَن تَبورَ

 “Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan shalat dan menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami anugerahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,”(Al-Fathir: 29)
Imam Qatadah seperti diriwayatkan dalam Tafsir Ibn Kathir ayat ini menceritakan tentang fadilah & kelebihan membaca al Qur’an.
“Orang-orang yang Kami berikan Kitab kepada mereka, sedang mereka membacanya dengan sebenar-benar bacaan (tidak mengubah dan memutarkan maksudnya), mereka itulah orang-orang yang beriman kepadanya; dan sesiapa yang mengingkarinya maka mereka itulah orang-orang yang rugi.” (Al-Baqarah: 121)
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (Surah Saff: 10-11)
Para Sahabat Nabi Radiyallahuanhum Ajmain adalah susuk peribadi yang paling gigih berusaha untuk mendulang keuntungan dari perniagaan yang tidak pernah rugi ini.
Siapa tidak kenal Abu Bakar As-Siddiq seorang pedagang yang jujur, setiap kali membaca al Qur’an nescaya basah wajah dan bajunya kerana tidak mampu menahan tangisan. Demikian juga Uthman bin Affan yang sering membaca al Qur’an. Sampai-sampai beliau mati dibunuh oleh puak pemberontak ketika sedang membaca al Qur’an.
Diriwayatkan dalam Kitab Muwatta’ bahawa Uthman bin Affan Radiyallahuanhu sering membaca Surah Yusuf pada waktu solat subuh.
Walaupun hubungan mereka dengan al Qur’an sangat era; keuntungan yang Allah rezekikan kepada para sahabat bukan sahaja keuntungan diakhirat berupa jannah. Dan tentulah iatu yang paling utama dan paling baik berbanding selainnya. Pun begitu Allah tidak mensia-siakan kehidupan mereka di atas dunia.
Majoriti sahabat Nabi itu Allah rezekikan kepada mereka harta dan nikmat yang tidak sedikit. Benar firman Allah dalam hadith qudsi maksudnya,
“Hai anak Adam! Tekunlah kamu beribadat kepada-Ku, nescaya aku akan penuhkan hatimu dengan kekayaan dan akan aku hilangkan kefakiranmu. Tetapi jika kamu tidak melakukannya, nescaya akan aku penuhkan tanganmu dengan kesibukan dan aku tidak akan hilangkan kefakiranmu.” (HR Tirmizi dan Ibnu Majah : Sahih menurut Albani)

No comments:

Post a Comment